Friday, January 1, 2010

JAGALAH IBUMU....

Kewajipan khusus anak-anak ialah menyediakan diri untuk menyenangkan hati ibu. Sebabnya, dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda, keredaan Allah adalah pada keredaan ibu bapa.Sebagai anak, kita perlu ingat bahawa sekuat mana pun kita beribadat tetapi jika kita tidak menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa, Allah tidak akan reda kepada kita.

Allah berfirman, Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah pula...(al-Ahqaf: 15)


Pernah suatu ketika, Rasulullah didatangi oleh seorang budak yang bertanya, “ibu saya lumpuh lalu semua urusan seperti memandikan dan menyuap makan saya lakukan sepenuhnya. Saya berkhidmat kepada ibu. Adakah perbuatan itu sudah dikira berbakti kepada ibu saya?”Rasulullah bersabda, “belum walaupun satu peratus tetapi engkau tidak termasuk anak derhaka.”


Pendek kata, walau sehebat itu pun khidmat anak kepada ibu, ia masih belum mencukupi untuk membalas jasa dan susah payah ibu melahir, mendidik dan membesarkan kita.Larangan menderhaka kepada ibu bapa dinyatakan secara jelas dalam surah al-Israk: 23. Apakah ciri-ciri derhaka itu? Dalam ayat tersebut Allah berfirman, Dan Tuhanmu memerintahkan supaya jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya lanjut usia dalam pemeliharaanmu, janganlah kamu mengatakan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Jika berkata ‘ah’ pun tidak boleh apatah lagi menyakitkan hati, memukul atau sehingga membunuh yang menjadi sebesar-besar dosa.


Dosa kita kepada ibu bapa ini adalah dari hujung rambut hingga hujung kaki. Sepatutnya, kita perlu melayan mereka dengan sebaik mungkin, mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka semasa hidup lebih-lebih lagi apabila mereka telah mati. Mendoakan ibu bapa adalah antara sifat anak yang soleh. Perbuatan mengangkat suara kepada ibu bapa sudah dikira derhaka. Kalau mengangkat tangan (memukul) lebih teruk lagi derhaka seseorang anak itu.


Pada zaman Rasulullah s.a.w., baginda ditanya oleh seorang pemuda, “siapakah orang yang paling perlu untuk saya berbuat baik”. Rasulullah bersabda, “ibumu, kata pemuda itu lagi, selepas itu, ibumu, selepas itu, ibumu, selepas itu, bapamu.”Ada juga pendapat mengatakan dua pertiga daripada khidmat bakti anak adalah untuk ibu dan hanya satu pertiga untuk bapa. Terutama apabila ibu sudah lanjut usia. Ini membuktikan betapa menghormati ibu itu adalah wajib selagi mana ia tidak menyalahi perintah Allah. Pepatah Melayu ada menyebut, seorang ibu boleh menjaga 10 anak tetapi 10 anak tidak boleh menjaga seorang ibu. Apakah maksud yang tersirat di sini? Ibu ini oleh sebab kasih sayang yang terlalu hebat terhadap anak-anak masih mampu tersenyum menjaga dan membesarkan walaupun 10 anak. Tetapi kasih anak kepada ibu sedikit sahaja.Sepatutnya anak-anak perlu berebut-rebut untuk menjaga ibu bapa semasa mereka sudah tua. Sebabnya, rumah siapa yang dipilih oleh ibu tinggal itulah anak yang soleh atau solehah. Dalam hal ini, ibu bapa juga berperanan mengasuh dan mendidik anak dengan baik sejak mereka kecil. Ini supaya apabila kita tua, anak-anak pula akan menjaga kita. Ini ditegaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya, berbuat baiklah kepada ibu bapa kamu nescaya anak-anak kamu berbuat baik kepada kamu. Jika ada perselisihan atau masalah dengan ibu bapa selesaikan segera. Sebagai anak, kita jangan ego walau setinggi mana kedudukan atau jawatan kita.


Ibu tetap ibu walaupun jika mereka itu buta huruf. Sabda Rasulullah, “sesiapa yang bangun pagi dan melakukan sesuatu yang menyenangkan hati ibu bapanya maka terbuka dua pintu ke syurga. Begitulah juga pada waktu petang. Tetapi barang siapa yang melakukan sesuatu yang tidak diredai oleh ibu bapanya maka terbuka dua pintu neraka”. Sebab itu anak-anak perlu segera memohon maaf kepada ibu bapa jika berselisih faham. Jangan biarkan sehingga tidak bertegur sapa bertahun-tahun lamanya.Jika semasa kecil kita tidak mendapat didikan yang sewajarnya disebabkan oleh keadaan ketika itu, apabila dewasa hendaklah kita memaafkan ibu kita. Adakah perbuatan menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang-orang tua itu boleh dianggap ‘membuang’ mereka dan derhaka? Dalam hal ini, kita tidak boleh menghukum semua perbuatan sedemikian sebagai menderhaka. Namun, menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang tua-tua hendaklah menjadi pilihan terakhir bagi mana-mana anak. Jika dalam situasi anak tidak mampu menjaga ibu bapa disebabkan mereka lum h, anak tersebut perlu memilih tempat yang ibunya reda. Kalau dengan reda, itu tidak mengapa.Tetapi jangan pula menghantar ibu bapa ke pusat jagaan kerana hendak melepaskan tanggungjawab. Golongan beginilah yang dianggap menderhaka.Namun begitu, tidak ada ibu bapa yang suka tinggal di rumah orang tua-tua. Mereka lebih suka tinggal bersama anak dan cucu. Oleh sebab itu, anak-anak kena berfikir 100 kali sebelum bertindak menghantar mereka ke pusat jagaan tersebut.


Bagaimanakah kisah ‘Alqamah atau si Tanggang dapat dijadikan pengajaran oleh anak-anak sekarang? Kedua-dua kisah ini mempunyai persamaan dari segi perbuatan anak yang tidak mahu makan masakan ibu sehingga menyebabkan ibu tadi berkecil hati. Kes si Tanggang, dia enggan makan pisang salai yang dimasak oleh ibunya selepas beroleh kekayaan sehingga menyebabkan hati ibunya terguris. Akhirnya Tanggang disumpah menjadi batu.


‘Alqamah pula adalah anak yang baik. Setiap kali pergi ke masjid, dia akan menziarahi ibunya. Cuma pada suatu hari, ibunya memberitahu ingin pergi ke rumah ‘Alqamah. ‘Alqamah dan isterinya amat gembira mendengar berita tersebut. Mereka pun menyediakan pelbagai jenis masakan sebagai menyambut kedatangan ibu ‘Alqamah.Rupa-rupanya, ibu tadi membawa makanan yang telah dimasaknya untuk dinikmati di rumah ‘Alqamah. Bagaimanapun, isterinya menyimpan makanan tersebut dan menghidangkan apa yang dimasaknya. Disebabkan perkara itu, ibu ‘Al`qamah berkecil hati sehingga menyukarkan anaknya itu menyebut kalimah tauhid semasa sakaratul maut. Rasulullah pun diberitahu tentang hal tersebut dan baginda bertanya kepada ‘Alqamah bagaimana hubungannya dengan ibu. Lalu beliau menjawab, ada sedikit salah faham. Rasulullah kemudiannya memanggil ibu ‘Alqamah dan memintanya memaafkan anaknya supaya boleh mengucap syahadat. Bagaimanapun, ibunya enggan kerana hatinya sangat terguris akibat peristiwa tempoh hari.Oleh sebab itu, Rasulullah mengarahkan para sahabat mengumpul kayu untuk membakar ‘Alqamah. Sabda baginda, sebelum dibakar di akhirat aku ingin tunjukkan dia dibakar di dunia. Melihatkan keadaan itu, barulah ibunya memaafkan ‘Alqamah. Sejurus itu, barulah ‘Alqamah boleh mengucap dengan lancar.


Satu contoh lagi ialah kisah Juraij. Beliau adalah seorang yang kuat beribadat. Setelah lama tidak bertemu, pada suatu hari, ibunya datang ke rumah Juraij dan mengucap salam. Ketika itu Juraij sedang solat sunat di tempat khas di dalam rumahnya. Kerana terlalu kuat beribadat, Juraij tidak menghiraukan kedatangan ibunya. Sebaliknya dia meneruskan solat sunat.Ini menyebabkan ibunya berkecil hati dan berdoa supaya anaknya dipertemukan dengan wanita jahat. Kebetulan berdekatan kediaman Juraij terdapat sekumpulan pengembala kambing wanita. Salah seorang daripadanya amat tertarik kepada Juraij tetapi dia mengetahui yang tidak akan mendapat perhatian daripada Juraij. Wanita itu pun berzina dengan pengembala kambing yang lain dan apabila mendapat anak mendakwa itu adalah hasil hubungannya dengan Juraij. Apabila berita itu tersebar, maka penduduk kampung datang memukul Juraij kerana mendakwanya bertopengkan agama tetapi sebenarnya jahat. Akhirnya, Juraij meminta kebenaran untuk bertanya dengan bayi itu siapakah bapanya yang sebenar. Dengan kuasa Allah, bayi yang masih merah itu boleh berkata-kata dan menceritakan hal yang sebenarnya. Barulah Juraij dilepaskan oleh penduduk kampung.


Kisah-kisah ini memberi pengajaran kepada kita betapa pentingnya kita menghormati ibu. Hatta dalam kesibukan beribadat pun tidak boleh dijadikan alasan mengabaikan ibu. Apa yang penting, kita perlu sentiasa menjaga hubungan baik dengan ibu bapa.Ingatlah sabda Rasulullah, “dua perkara yang siapa melakukannya akan diazab oleh Allah semasa di dunia lagi iaitulah berbuat zalim dan menderhaka kepada ibu bapa. "Ramai yang menyedari harga kasih sayang ibu setelah mereka meninggal dunia. Bagaimana kita menunjukkan kasih sayang kepada mereka semasa hayat masih ada? Elakkan daripada perbuatan yang menyakitkan hati atau yang boleh merunsingkan fikiran mereka. Tunjukkan kasih sayang kepada mereka sebagaimana mereka mengasihani dan menjaga kita semasa kecil.Kalau kesihatan mereka kurang baik, boleh kita bekalkan dengan makanan tambahan supaya mereka lebih sihat dan bertenaga untuk beribadat. Selepas kematian mereka bukan bermakna tugas anak sudah selesai. Sebaliknya kita perlu terus berkhidmat dengan mendoakan mereka agar mendapat pengampunan Allah dan diangkat martabat mereka. Doa anak soleh kepada ibu bapa adalah antara tiga perkara yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad yang dapat membantu Muslim selepas kematian. Seperkara lagi yang boleh dilakukan apabila ibu bapa meninggal ialah berbuat baik dengan adik-beradik dan sahabat mereka. Bagi mereka yang tidak mempunyai anak, adalah menjadi tanggungjawab anak saudara menjaga ibu saudara semasa mereka lanjut usia. Anak-anak saudara tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.


SEKIAN

No comments:

Post a Comment