Hari ini adalah hari pertama persekolahan di pantai barat. Negeri-negeri yang bercuti jumaat sabtu telah memulakan persekolahan pada hari ahad yang lepas. Seperti tahun-tahun yang sebelumnya hari pertama persekolahan menjadi tajuk utama berita tempatan. Gelagat murid tahun 1 biasanya akan menjadi tumpuan yang lebih yang bukan sahaja tertumpu kepada murid tetapi juga kepada ibu bapa. Aku juga termasuk dalam golongan yang sibuk pada hari pertama persekolahan, Irdina di tahun 5, Batrisyia di tahun 3 dan Irsyad di tahun 2.
Semalam ketiga-tiga anak aku itu beriya-iya benar hendak memulakan tahun baru persekolahan. Tak tahu dari mana mereka mendapat semangat tu. Alhamdulillah, sikap mereka yang minat pada pelajaran sekurang-kurangnya menyejukkan hati seorang ayah ini.
Berbaris panjang untuk membayar yuran pada hari pertama persekolahan telah menjadi satu kemestian untuk setiap ibu bapa di Negara ini. Bukan sekali tetapi dua kali untuk setiap anak sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Macam aku ni terpaksalah berbaris 6 kali lah untuk hari ni, 3 kali sekolah agama 3 kali sekolah kebangsaaan. Nasib baik wife aku bantu untuk sekolah kebangsaan. Aku berbaris untuk sekolah agama sahaja. Aku perlu pergi pejabat hari ni sebab nak siapkan claim pergi Cherating hari tu, kene submit petang tadi jugak.
Sewaktu aku berbaris dan sambil melihat murid dalam kelas untuk membayar yuran di Sekolah agama pagi tadi fikiran aku menerawang dizaman persekolahan aku sekitar tahun 1980-1985. Tak banyak beza keadaan bilik darjah Sekolah Rendah Agama Sungai Kantan 2 berbanding kelas 2 Mawar Sekolah Kebangsaan Padang Luas 25 tahun lalu. Malah seingat aku kelas 2 mawar aku lebih elok dan kemas berbanding kelas 3 Mua'lim anak aku tadi. Sekolah rendah agama yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam negeri ternyata kekurangan segalanya dari segi fizikal. Sewaktu berbaris di Sekolah Kebangsaan juga aku melihat tiada perubahan yang drastik dari segi kemudahan fasiliti berbanding tempoh 25 tahun yang telah dilalui walaupun keadaan sedikit lebih selesa berbanding sekolah agama kerana Sekolah Kebangsaan dibiaya dan dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Persekutuan. Terkilan dan sedih melihat persekitaran bilik darjah yang daif dan tiada perubahan dalam tempoh negara memacu pembangunan yang drastik dalam industri pembinaan.
Sebagai penjawat awam dan penuntut jurusan master pengurusan aset dan fasiliti aku amat faham dengan jelas kepentingan fasiliti dan kemudahan di sekolah dalam membantu cikgu dan murid menjalani pembelajaran di sekolah. Persekitaran yang selesa dan harmoni amat membantu murid dan cikgu menjalani pembelajaran dan mampu menaikkan tahap pendidikan di Negara ini. Tahap pendidikan yang baik mampu membawa negara ke arah menyediakan modal insan yang lebih baik dan merupakan aset yang penting kepada negara dalam jangka panjang.
Sedih juga memikirkan keadaan ini. Di mana silapnya corak dan kaedah pembangunan Negara ini sehingga membawa kepada keadaan ini. Adakah negara kita masih tak mampu menyediakan tahap pendidikan yang selesa seperti Negara maju?. Adakah sistem kewangan dan ekonomi kita gagal dan Negara masih miskin?. Atau kekayaan Negara ini hanya berlegar di kalangan minoriti dan gagal diagihkan dengan baik?. Kita mampu membina bangunan pencakar langit yang tinggi dan membina putrajaya dan banyak bandar-bandar baru yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Tapi masih tak mampu menyediakan fasiliti dan kemudahan yang baik untuk pembelajaran untuk anak-anak bangsa.
Sewaktu menghadiri satu seminar (NAFAM 2009) di PWTC, di Ibu Negara, aku melihat Negara maju telah bergerak dengan lebih jauh dalam menyediakan fasiliti dalam bidang pendidikan. Negara barat khususnya Amerika dan Eropah telah menyediakan program 'Building School for Future' yang mana tahap kemudahan dan fasiliti umpama hotel 3 atau 4 bintang. Pembalajaran menggunakan komputer, LCD, tahap kebersihan, teknologi bangunan dan banyak lagi fasiliti yang jauh lebih baik kerana mereka menyedari kepentingan pendidikan yang memberi ilmu kepada rakyat yang akan menyediakan modal insan kepada Negara.
Kerajaan atau pemerintah harus melihat perkara ini dengan lebih dalam dan dalam jangkamasa panjang. Sampai bila tahap fasiliti pendidikan di Negara ini terus berada dalam keadaan kelas bawah dan hanya setaraf dengan negara afrika atau negara-negara miskin. Kita selalu mendabik dada mengatakan negara kita adalah maju dan terbaik di rantau ini baik dari segi pembangunan atau segala-galanya.
Kerajaan seharusnya membuat pelaburan yang besar dalam isu ini kerana kealpaan ini akan memberikan impak yang besar dalam jangkapanjang kepada Negara. Generasi baru inilah yang akan menentukan halatuju negara ini suatu hari nanti. Kegagalan dalam bidang pendidikan adalah suatu kegagalan yang tidak mampu diterima oleh semua pihak. Kerosakan akhlak generasi remaja sekarang tak usah dipertikaikan lagi, kes buang bayi, merempit, meragut, melepak dan banyak lagi yang sentiasa kita tonton ata baca dalam media massa.
Generasi remaja yang ada telah hancur dan kelihatan tak mampu lagi untuk membawa negara ke arah lebih baik. Kita pasti tak mampu menerima hakikat anak-anak kita akan hancur dibawa arus tanpa pendidikan dan ilmu.
Adakah kita perlu menukar pemerintah untuk menukarkan keadaan ini?. Atau negara kita sememangnya miskin dan kerajaan sediada telah mencuba sedaya upaya selama ini untuk memberikan yang terbaik?
Fikir-fikirkanlah...
No comments:
Post a Comment